Adakah manusia mempunyai kuasa yang mutlak? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Ini kerana manusia berada dalam sistem alam ini pada setiap masa tanpa mempunyai kemampuan untuk mengubahkan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah sama sekali.
Lihat sahajalah kepada kejadian malam dan siang. Tidak pernah ia lewat sedikit pun dan tidak pula ia boleh dipercepatkan. Manusia tidak mempunyai pilihan kecuali menerima siang atau malam. Ia akan sentiasa berlaku walaupun tanpa kerelaan seluruh manusia. Lihatlah kepada angin yang bertiup, adakalanya kencang dan adakalanya menghiburkan. Lihat kepada hujan yang turun, ada masanya ia lebat dan ada masanya ia renyai. Ada masanya pula berlaku kemarau yang berpanjangan. Lihat kepada awan yang adakalanya mendung dan adakalanya terang.
Siapakah yang mempunyai kehendak yang sebegitu hebat? Adakah angin yang mengatur perjalanannya sendiri? Adakah hujan yang menentukan tempat turunnya? Adakah awan yang menentukan keadaannya untuk mendung atau cerah? Tidakkah semua ini menunjukkan bahawa manusia ini terikat dengan sistem yang telah ditentukan oleh pencipta yang maha hebat.
Siapakah yang menjadikan manusia? Jika kita lihat janin di dalam perut ibu, siapakah yang membentuk janin tersebut? Siapakah yang membentuk muka janin dengan bentuk-bentuk yang tertentu? Siapakah yang menentukan warna kulit janin? Janin itu sendirikah yang menentukannya? Ibunya? Darah? Urat? Rahim? Dan lain-lain seterusnya? Sudah tentu jawapannya adalah tidak kerana hanya Allah sahaja yang mampu melakukan semua perkara tersebut.
Siapakah yang mengkehendaki kita lahir ke dunia? Kita sendiri? Ibubapa kita? Darah? Urat saraf? Otot? Akhirnya kita akan mati… Siapakah yang mengkehendakinya? Kita sendiri?
Siapakah yang mengenugerahkan pemikiran, kebijaksanaan dan perasaan? Adakah kita yang mencipta kebijaksanaan kita sendiri? Adakah kita yang menjadikan perasaan marah, sedih dan gembira yang wujud dalam diri ini? Mampukah kita hilangkan terus perasaan tersebut? Mampukah kita hilangkan perasaan rungsing diri dan gantikan ia dengan perasaan gembira pada setiap masa?
Hakikatnya, manusia itu merupakan hamba Allah pada masa lalu, kini dan untuk selamanya… Diri kita ini adalah anugerah ilahi…
18 Disember 2007 at 1:58 am
mcm mana pulak dgn kuasa? sekiranya kite menjadi ketua, bukankah kita berkuasa, kita yg tentukan segala nye? mintak pndgn ustaz….
sbb ramai yg berada di atas, terlupa memandang yg berada di bawah…
6 Januari 2008 at 10:15 am
Biasanya orang yang berkuasa akan mempunyai perasaan sebegitu… Oleh itu, penting bagi yang mempunyai kuasa untuk sentiasa mengingati kejadian dan hakikat diri supaya tidak melampaui batas-batas syariat atau kemanusiaan…
Ketentuan kita tidak seharusnya menekan orang lain. Kita berkuasa disebabkan kelebihan-kelebihan tertentu yang Allah berikan dan ia pula tidak dimiliki oleh orang lain. Tidak seharusnya kelebihan-kelebihan tersebut digunakan untuk melakukan penindasan, kezaliman atau kekejaman…
Walaupun tiada orang yang mampu untuk menghalang kuasa dan ketentuan kita tapi ingatlah Allah Maha Berkuasa sentiasa membalas kejahatan orang yang melakukan kezaliman dan kekejaman melalui caraNya yang tersendiri… Janganlah mencabar Allah Yang Maha Berkuasa…