Manusia Berkuasa Tapi Allah Maha Berkuasa

Jika kita melihat bangunan KLCC, kita akan terpegun melihat kehebatan manusia yang dapat mereka dan membina bangunan yang sebegitu cantik dan teguh… Jika kita melihat kepada peristiwa angkasawan kita telah sampai ke angkasa, kita akan kagum dengan kehebatan manusia yang telah mencapai ilmu yang sebegitu tinggi… Melalui ilmu pengetahuan, manusia telah menjadi begitu berkuasa sehingga mampu untuk mencipta sesuatu yang pernah dianggap hanya sebagai khayalan pada suatu masa dahulu…

Namun begitu, disebalik kekaguman manusia terhadap kekuasaan mereka, mereka lupa mengenai kehebatan pencipta… Sehebat-hebat manusia mencipta, tak lebih hanya sekadar memanipulasi perkara yang telah diciptakan oleh Allah… Kehebatan manusia pada hakikatnya menggunakan kehebatan yang telah disediakan oleh Allah… Manusia tidak mencipta tanah, air atau besi tetapi manusia bijak menggunakan perkara-perkara tersebut untuk mendapatkan kekuasaan…

Bahkan kebijaksanaan manusia yang wujud dalam dirinya itu pun bukanlah perkara yang diciptanya sendiri… Kalau manusia boleh mencipta kebijaksanaan, necsaya semua manusia yang ada di atas muka bumi ini telah menjadi bijak-bijak belaka dalam semua hal. Tetapi hakikatnya tidak begitu… Kita sendiri tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas kebijaksanaan kita sendiri walaupun kita boleh berusaha untuk memperolehinya. Oleh itu, manusia tidak wajar lupa mengenai kehebatan Penciptanya kerana pada hakikatnya manusia itu bergantung kepada kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada dirinya…

Kalau rasa diri sendiri sudah hebat, kembalikan semua ciptaan Allah kepadaNya. Ciptalah diri sendiri dari suatu yang tiada kepada ada… Janganlah bergantung kepada Allah tetapi dalam masa yang sama bersikap sombong dengan Allah… Bukanlah Allah itu tidak mampu untuk membinasakan manusia-manusia yang sedang tenggelam dengan kesombongan diri tetapi Allah itu Maha Berkuasa sehingga tiada suatu perkara pun yang dapat mengarahkanNya untuk bertindak…

Hargailah peluang yang ada untuk menghilangkan kesombongan diri terhadap pencipta… Sesungguhnya pencipta itu Maha Penyayang dan Pengasih di samping Maha Berkuasa…

Tinggalkan jawapan