Allah Maha Kaya Dan Maha Pemurah

12 Mac 2008

Alam ini adalah sangat luas… Keluasannya melampaui gambaran yang boleh dibayangkan oleh fikiran manusia… Jika dilihat sahaja apa yang wujud di atas muka bumi ini sahaja, kita akan dapati terdapat pelbagai jenis makhluk yang telah Allah ciptakan… Setiap satunya mempunyai sistem kehidupan yang begitu unik dan tersendiri… Namun begitu, ia tidak terpisah sama sekali dengan makhluk-makhluk yang lain.

Lihat sahajalah kepada makhluk Allah yang sangat istimewa iaitu manusia. Kebanyakkan makhluk Allah di atas muka bumi ini dan di angkasa, boleh dikuasai oleh manusia tetapi tidak sebaliknya. Sungguh hebat kekuasaan manusia yang telah dijadikan oleh Allah. Hampi kebanyakkan makhluk Allah boleh digunakan oleh manusia untuk manfaat dan kebaikan dirinya.

Maha Suci Allah yang Maha Kaya dan Maha Pemurah. Apakah bayaran yang telah dikenakan oleh Allah kepada kita bagi membolehkan kita menikmati nikmat-nikmat yang ada ini. Jawapannya tentulah tiada kerana Allah Maha Kaya yang tidak memerlukan sesuatu pun dari makhluknya. Allah menjadikan makhluk bukan untuk faedah dirinya sebagaimana makhluk sama sekali tidak akan mampu memberikan kemudaratan kepada Allah.

Namun begitu, sebagai makhluk, adalah tidak wajar bagi kita untuk menderhakai perintah Allah apatah lagi mengingkari ketuhanan dan kewujudannya.

Keingkaran manusia terhadap ketuhanan dan kewujudan Allah hanyalah berasaskan kepada kesombongan manusia yang enggan mengakui hakikat dirinya yang telah dijadikan. Manusia tidak pernah mampu untuk menjadikan dirinya sendiri. Kenapakah dia perlu sombong untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah? Apakah jaminan keselamatan yang telah diperolehinya jika dia kufur kepada Allah?

Fikir… fikirkanlah…


Manusia Berkuasa Tapi Allah Maha Berkuasa

6 Januari 2008

Jika kita melihat bangunan KLCC, kita akan terpegun melihat kehebatan manusia yang dapat mereka dan membina bangunan yang sebegitu cantik dan teguh… Jika kita melihat kepada peristiwa angkasawan kita telah sampai ke angkasa, kita akan kagum dengan kehebatan manusia yang telah mencapai ilmu yang sebegitu tinggi… Melalui ilmu pengetahuan, manusia telah menjadi begitu berkuasa sehingga mampu untuk mencipta sesuatu yang pernah dianggap hanya sebagai khayalan pada suatu masa dahulu…

Namun begitu, disebalik kekaguman manusia terhadap kekuasaan mereka, mereka lupa mengenai kehebatan pencipta… Sehebat-hebat manusia mencipta, tak lebih hanya sekadar memanipulasi perkara yang telah diciptakan oleh Allah… Kehebatan manusia pada hakikatnya menggunakan kehebatan yang telah disediakan oleh Allah… Manusia tidak mencipta tanah, air atau besi tetapi manusia bijak menggunakan perkara-perkara tersebut untuk mendapatkan kekuasaan…

Bahkan kebijaksanaan manusia yang wujud dalam dirinya itu pun bukanlah perkara yang diciptanya sendiri… Kalau manusia boleh mencipta kebijaksanaan, necsaya semua manusia yang ada di atas muka bumi ini telah menjadi bijak-bijak belaka dalam semua hal. Tetapi hakikatnya tidak begitu… Kita sendiri tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas kebijaksanaan kita sendiri walaupun kita boleh berusaha untuk memperolehinya. Oleh itu, manusia tidak wajar lupa mengenai kehebatan Penciptanya kerana pada hakikatnya manusia itu bergantung kepada kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada dirinya…

Kalau rasa diri sendiri sudah hebat, kembalikan semua ciptaan Allah kepadaNya. Ciptalah diri sendiri dari suatu yang tiada kepada ada… Janganlah bergantung kepada Allah tetapi dalam masa yang sama bersikap sombong dengan Allah… Bukanlah Allah itu tidak mampu untuk membinasakan manusia-manusia yang sedang tenggelam dengan kesombongan diri tetapi Allah itu Maha Berkuasa sehingga tiada suatu perkara pun yang dapat mengarahkanNya untuk bertindak…

Hargailah peluang yang ada untuk menghilangkan kesombongan diri terhadap pencipta… Sesungguhnya pencipta itu Maha Penyayang dan Pengasih di samping Maha Berkuasa…


Manusia Selama-Lamanya Adalah Hamba Allah

11 Disember 2007

Adakah manusia mempunyai kuasa yang mutlak? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Ini kerana manusia berada dalam sistem alam ini pada setiap masa tanpa mempunyai kemampuan untuk mengubahkan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah sama sekali.

Lihat sahajalah kepada kejadian malam dan siang. Tidak pernah ia lewat sedikit pun dan tidak pula ia boleh dipercepatkan. Manusia tidak mempunyai pilihan kecuali menerima siang atau malam. Ia akan sentiasa berlaku walaupun tanpa kerelaan seluruh manusia. Lihatlah kepada angin yang bertiup, adakalanya kencang dan adakalanya menghiburkan. Lihat kepada hujan yang turun, ada masanya ia lebat dan ada masanya ia renyai. Ada masanya pula berlaku kemarau yang berpanjangan. Lihat kepada awan yang adakalanya mendung dan adakalanya terang.

Siapakah yang mempunyai kehendak yang sebegitu hebat? Adakah angin yang mengatur perjalanannya sendiri? Adakah hujan yang menentukan tempat turunnya? Adakah awan yang menentukan keadaannya untuk mendung atau cerah? Tidakkah semua ini menunjukkan bahawa manusia ini terikat dengan sistem yang telah ditentukan oleh pencipta yang maha hebat.

Siapakah yang menjadikan manusia? Jika kita lihat janin di dalam perut ibu, siapakah yang membentuk janin tersebut? Siapakah yang membentuk muka janin dengan bentuk-bentuk yang tertentu? Siapakah yang menentukan warna kulit janin? Janin itu sendirikah yang menentukannya? Ibunya? Darah? Urat? Rahim? Dan lain-lain seterusnya? Sudah tentu jawapannya adalah tidak kerana hanya Allah sahaja yang mampu melakukan semua perkara tersebut.

Siapakah yang mengkehendaki kita lahir ke dunia? Kita sendiri? Ibubapa kita? Darah? Urat saraf? Otot? Akhirnya kita akan mati… Siapakah yang mengkehendakinya? Kita sendiri?

Siapakah yang mengenugerahkan pemikiran, kebijaksanaan dan perasaan? Adakah kita yang mencipta kebijaksanaan kita sendiri? Adakah kita yang menjadikan perasaan marah, sedih dan gembira yang wujud dalam diri ini? Mampukah kita hilangkan terus perasaan tersebut? Mampukah kita hilangkan perasaan rungsing diri dan gantikan ia dengan perasaan gembira pada setiap masa?

Hakikatnya, manusia itu merupakan hamba Allah pada masa lalu, kini dan untuk selamanya… Diri kita ini adalah anugerah ilahi…